Gagasan Pembentukan Negara Islam Dalam Konteks Geo-Politik Masa Kini: Beberapa A
Isu Semasa Oleh
Dr Muhammad Nur Manuty

Mukadimah

Politik adalah subjek yang paling banyak diperdebatkan. Kertas ringkas ini adalah bermaksud bagi menghuraikan pemikiran-pemikiran para ilmuan salaf mengenai system pemerintahan/kenegaraan Islam. Selanjutnya, pemakalah akan menyorot beberapa dimensi penting di dalam wacana-wacana mengenai idea pembentukan negara Islam di negara-negara Islam kontemporer. Apakah pola-pola pemikiran dalam kalangan para ilmuan Muslim semasa? Apakah pendirian yang wajar diambil dalam konteks geo-politik semasa demi kelastarian hidup masyarakat Islam terutama dalam konteks keberadaan kita di dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia dan Singapura.

Sejarah Pertumbuhan Pemikiran Politik Islam Dari kacamata sejarah Islam, sejak kewafatan Junjungan Muhammad s.a.w dan terjadinya peristiwa Thaqif Bani Sa’idah hingga sekarang, umat Islam masih terus menerus berhadapaan dengan rentetan pelbagai isu politik yang gawat. Dalam era al-Khulafa al-Rashidun yang empat itu, keadaan masih terkawal. Walaubagaimanapun, situasi politik mulai tergugat dalam zaman pemerintahan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan (r.a). Adalah jelas dalam zamannya, perpecahan umat mulai terjadi sehingga dapat dikatakan bahawa konflik politiklah yang paling banyak menumpahkan darah umat Islam di sepanjang sejarah.

Sistem khilafah yang telah menunjukkan keunggulan prinsip-prinsip Islam telah tidak bertahan lama. Sistem khilafah telah digantikan dengan sistem beraja (al-mulukiyyah) yang telah menjadikan tampuk kekuasaan politik sebagai monopoli keluarga-keluarga tertentu. Jelaslah bahawa kemuuculan sistem pemerintahan beraja telah menyimpang dari tradisi khilafah yang ideal. Meskipun pemerintahan beraja masih menggunakan gelaran-gelaran seperti khalifah dan amir al-mu’minin dalam batas-batas tertentu, kekuatan politik Islam dan perpaduan umat Islam masih berada pada tahap yang memuaskan hati semua pihak yang cinta kepada kedaulatan Islam sebagai agama pilihan Allah (swt). Hal ini terbukti dengan munculnya gerakan mendaulatkan semula sistem “Khilafah” (Khalifat Movement) setelah dihapuskan oleh Mustafa Kamal Attaturk di Turki pada tahun 1920’an.

Memang Islam tidak boleh dipisah dari agama. Islam adalah al-din yang sempurna, meliputi seluruh aspek kehidupan. Itulah sebabnya dalam sejarah peradaban Islam, beberapa ilmuan Muslim ternama telah menghasilkan karya-karya agong yang membicarakan persoalan Islam dan pemerintahan (governance). Sebagai contoh, Imam ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi (w.450 H) telah menulis sebuah kitab yang amat bernilai iaitu kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (The Laws of Islamic Governance). Lain-lain tokoh ilmuan Muslim adalah seperti Ibn Khaldun yang terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Muqaddimah, Selain itu, Badr al-Din ibn Jama’ah telah menghasilkan sebuah buku yang berjudul Tadbir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam. Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah telah menerbitkan sebuah karya yang bernama Al-Turuq Al-Hukmiyyah fi al-Siayasah al-Syar’iyyah. Selanjutnya, karya Ibn Taimiyyah yang berjudul Al-Siyasat al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’iyy wa al-Ra’iyyah telah membuktikan adanya legitimasi sistem pemerintahan di dalam agama Islam. Dua orang tokoh ilmuan Muslim yang ternama turut menghasilkan dua karya penting iaitu Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang telah menghasilkan karya yang bernama Nasihat al-Muluk dan Abu al-Ma’ali al-Juwaini dengan tulisannya yang bertajuk Ghiayath al-Umami fi al-Tiyathi al-Zulami. Sementara Ibn Qutaibah, karya pentingnya mengenai pemerintahan dikenali dengan judul Al-Imamah wa Al-Siyasah.

Secara ringkas, topik-topik perbahasan utama di dalam karya-karya tersebut adalah berkisar mengenai aspek-aspek berikut: (a) peri pentinganya menegakkan prinsip keadilan (al ‘adl) oleh pemerintah mengikut perintah al-Qur’an dan al-Sunnah; b) kepentingan mewujudkan kepemimpinan (al-imam) yang adil, beramanah, telus dan bertanggungjawab; c) menegakkan syari’at Islam yang serba komprehensif; d) pelaksanaan prinsip syura bagi menjamin adanya ruang kebabsan bersuara anta kepimpinan dengan rakyat secara timbale balik; e) Pembelaan warga yang lemah (al-mustad’afin); f) kedudukan masyarakat bukan Islam (zimmi dan kafir harbi; g) kedudukan hukum peperangan dan perdamaian; h) hubungan antara bangsa; i) pelaksanaan sistem percukaian dan lain-lain lagi aspek dalam kehidupan manusia.

Antara topik-topik yang penting itu para ilmuan Muslim salaf telah menulis mengenai kepentingan mengkateegorikan status apa yang diistilahkan sebagai Dar al-Islam, Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd.

Dar al-Islam (Wilayah Islam)

Terdapat beberapa takrif mengenai Dar al-Islam. Sebahagian ‘ulama Hanafi, misalnya, mentakrifkan Dar al-Islam itu sebagai “negara yang berlaku di dalamnya hukum-hukum Islam”. (Al-Kasani, Bada’I As-Sanai’, 1982, ms.130). Sementara‘Ulama Maliki pula, dalam satu huraian, mereka menjelaskan Dar al-Islam ialah “negara yang didirikan di dalamnya syi’ar-syi’ar Islam atau kebanyakan darinya”. (Al-Dusuqi, Hasyiah al-Dusuqi, ms.188). Dalam konteks yang lain, ‘ulama dalam mazhab Shaf’iii menegaskan bahawa takrif Dar al-Islam itu bermaksud: “setiap tempat yang penduduknya dapat menegakkan diri dari golongan harbi”. (Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 1884, ms. 82). Ibn al-Qayyim – salah seorang pendukung utama fiqh Hambali menyatakan bahawa Negara Islam itu ialah “negara yang didiami oleh orang-orang Islam dan berlakunya di dalamnya hukum-hukum Islam”. (Ibn al-Qayyim, Ahkam Ahlu al-Zimmah, 1983, ms.266). Pokoknya, pendapat umum dalam kalangan para ilmuan fiqh salaf cenderung untuk menyatakan bahawa yang dikatakan
Dar al-Islam itu adalah negara yang diperintah dan dilaksanakan undang-undang Islam. Asas utama penamaan Dar al-Islam adalah dikeranakan adanya kekuasaan bagi orang-orang Islam yang memerintah dan berlakunya pelaksanaan syari’at Islam. Selain itu, dar al-Islam juga dirujuk sebagai sebuah negara yang juga dinamakan Dar al-‘Adl (Negara Adil) dari segi pelaksanaan hukum-hukum Islam untuk warga Muslim dan bukan Muslim. (Muhammad Husin Muhasinah, 1991, ms. 161). Pokoknya, seperti huraian Al-Sarkahasi, syarat kesahihah status sebagai Dar al-Islam ialah adanya ketenteraman hidup dalam masyarakat Muslim dan tidak ditekan oleh pelbagai pihak (orang-orang bukan Islam) kerana amalan agama mereka.

Dar al-Harb (Wilayah Musuh)

Para ilmuan fiqh nampaknya tidak sependapat mengenai pengertian Dar Al-Harb. Rata-rata dalam kalangan ilmuan fiqh Syafi’, Hanbali, Maliki, Zahiri dan dua orang pendukung utama Imam Abu Hanafi menyatakan bahawa apabila syari’at tidak dilaksanakan di dalam Dar al-Kufr/Dar al-Harb. Sebaliknya, pada ketika itu undang-undang bukan Islam (kufr) dilaksanakan secara mutlak. (Ibn Hazm, al-Muhalla, ms.200). Sementara mazhab kedua pula adalah datangnya dari Imam Abu Hanifah. Katanya Dar al-Islam tidak boleh menjadi Dar al-Kufr semata-mata kerana adanya dominasi undang-undang kufr. Bagaimanapun, Dar al-Kufr/Dar al-Harb boleh berlaku dengan adanya tiga sebab utama: a) Dominasi undang-undang bukan Islam didalamnya; b) Perbatasan dar al-Islam dengan Dar al-Kufr bersambungan sehingga ia boleh mengancam keamanan warga Muslim; c) Jaminan seorang warga Muslim atas Zimmi seperti yang diperuntukkan dalam Dar al-Islam sebelumnya telah tidak wujud lagi. (al-Kasani, Sana’i, ms.131)

Para ‘ulama fiqh juga membahaskan situasi orang-orang Islam ketika mengalami kelemahan dari segi ketenteraan atau kewujudan pelbagai masalah yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam negara Islam. Akhirnya musuh mengambil kesempatan menduduki wilayah-wilayah Islam dan mereka melaksanakan undang-undang bukan Islam. Dalam hubungan ini, majoriti ilmuan fiqh dari Mazhab Hanbali, Zahiri serta dua orang ilmuan fiqh dari Mazhab Hanafi menyatakan pandangan mereka yang menyebut apabila kedaaan sedemikian berlaku, maka Dar al-Kufr terbentuk dimana undang-undang bukan Islam menjadi undang-undang rasmi. (Badi’ al-Sana’i, ms. 130).

Selanjutnya, terdapat pandangan dalam kalangan para fuqaha’ dari Mazhab Maliki dan Shafi’i yang menarik perhatian kita. Mereka berpandangan bahawa Dar al-Islam tidak boleh menjadi Dar al-Harb hanya dengan dominasi undang-undang bukan Islam atau hanya dengan penguasaan orang-orang Islam didalamnya selama warga Muslim masih berupaya mengajarkan sebahagaian dari syari’at Islam. (al-Dusuqi, Hasyiah, ms.188). Dalam Tuhfah Al-Muhtaj, pengarang menyatakan bahawa bagi seseorang warga Muslim yang tinggal di dalam Dar al-Harb selama ia masih dapat menegakkan Islam dengan tinggalnya di a disitu, maka keputusan dia tinggal dinegara asalnya itu adalah lebih baik dari berhijrah ke tempat lain. Keupayaannya untuk melawan musuh-musuh dengan tindakan beruzlah di dalam negara asalnya serta tidak perlu meminta lain-lain warga Muslim berhijrah keluar negara, maka hukumnya adalah wajib untuk terus tinggal disitu. Walaubagaimanapun, jika berlaku hijrah, maka negara tersebut kini bertukar menjadi Dar al-Harb”. (Tuhfah al-Muhtaj, ms.188).

Dar Al-‘Ahd (Wilayah Bukan Islam Yang Berdamai Dengan Bukan Islam)

Dar al-‘Ahd dapat diertikan sebagai satu lagi konsep yang telah dikembangkan oleh fuqaha’ zaman Islam apabila terjadinya perdamaian antara negara Islam dengan negara bukan Islam.

Kewajiban Menegakkan Negara Islam

Antara ilmuan Muslim semasa yang telah mempertahankan kewajipan menegakkan negara islam di dunia Islam pada masa kini ialah Syakh Yusuf al-Qaradawi. Dalam karyanya yang berjudul Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, al-Qaradawi telah berhujah bahawa idea penubuhan negara Islam bukan merupakan ciptaan pemimpin-pemimpin dalam gerakan Islam semasa. Sebaliknya, al-Qaradawi menegaskan gerakan membina sebuah negara Islam seperti di Mesir adalah bersandarkan kepada nas-nas qat’iyy di dalam al-Qur’an serta Sunnah Junjungan Mhammad s.a.s. Mislanya, al-Qaradawi telah menggunakan ayat 58 dan 59 sebagai dalil legitimasi hukum menegakkan negara Islam. Ayat tersebut menghendaki para penguasa menghayati sepenuhnya prinsip amanah dan adil. Tanpa adanya keadilan dan amanah, umat boleh ditimpa petaka dan bencana dari Allah s.w.t. Dalam ayat tersebut juga, Allah s.w.t meminta warga mukmin untuk menunjukkan ta’at setia kepada ulul amri dengan syarat ulul amri tersebut taat dengan Allah s.w.t serta RasulNya. Seandainya berlaku konflik politik sesama umat Islam, maka rujukannya adalah Allah s.w.t. Selain itu, terdapat hadis sahih yang berbunyi: “Sesiapa yang mati tanpa meletakkan ba’iah pada lehernya, kematian tersebut adalah satu kematian jahiliyyah”. Selanjutnya, al-Qaradawi menyatakan terdapat pelbagai implikasi aqidah keatas orang-orang Islam yang tidak mahu menerima hakikat kewajipan menegakkan negara Islam serta taat dengan kepimpinan yang tidak taat setia kepada Allah s.w.t. bagi menegakkan hukum-hukum Islam. Justeru, al-Qaradawi menjelaskan betapa perlunya usaha untuk menghidupkan semula sebuah kehidupan yang Islami dengan pemerintah Muslim melaksanakan kewajipannya. Jadi, tugas menegakkan negara Islam, bukan merupakan satu usaha peribadi, tetapi ia memerlukan bantuan dari semua orang-orang mukmin dengan berada di dalam satu jama’h. (Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah al-Islamiyyah, ms. 15). Selain itu, al-Qaradawi juga memperkuatkan hujahnya dengan menyebut beberapa dalil di dalam sejarah Islam. Beliau menyatakan bahawa Junjungan Muhammad s.a.w. telah berusaha menegakkan negara Islam di kota Madinah dengan panduan wahyu Ilahi. Junjungan Muhamamd s.a.w bukan sahaja telah berfungsi sebagai seorang Nabi dan Rasul, tetapi juga telah menjadi ketua Negara Islam di madinah al-Munawwarah. Justeru, hukum menetap di dalam Negara Islam adalah wajib kerana statusnya pada waktu itu adalah sebagai sebuah Dar al-Islam. Iman tidak sempurna tanpa berhijrah didalamnya. Umat Islam hendaklah keluar dari negara kafir serta melakukan hijrah ke Negara Islam Madinah. Al-Qaradawi telah menggunakan ayat 72 al-Anfal dan 89 al-Nisa’ untuk menjustifikasikan kesahihan dari segi hukum Islam menerima reality adanya sebuah negara Islam. (Yusuf al-Qaradawi, ms. 16-17).

Profesor Abdul Razak al-Sanhuri, seorang tokoh perundangan yang terkenal di Mesir turut mempertahankan idea keperluan pembentukan Negara Islam. Al-Sanhuri telah menolak dakwaan Syakh ‘Ali Abdul Razik, seorang ilmuan dari Universiti al-Azhar, Mesir yang menyatakan dalam pandangan kontroversinya seperti yang tercatat di dalam bukunya yang berjudul Al-Islam wa Usul al-Hukm bahawa Junjungan Muhammad s.a.w adalah seorang Nabi dan Rasul semata, bukan seorang Ketua Negara di Madinah. Katanya, Islam adalah agama yang dikenali sebagai al-din wa al-dawlah. Junjungan Muhammad s.a.w. tidak menjadi utusan Allah s.w.t untuk tujuan agama semata, tetapi Baginda juga ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk membina sistem pemerintahan. Oleh kerana sifatnya sebagai ketua, maka beliau telah mendapat wilayah dimana rakyat sama ada Muslim dan bukan Muslim hendaklah berada di bawah perintahnya. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan mengikut agama Islam. Justeru, kita sewajarnya memahami dengan baik tentang perbedaan Islam sebagai al-din dan Islam sebagai al-dawlah. (Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa al-Siyasah, 2005, ms. 95).

Sejarah Gerakan Penubuhan Negara Islam Moden

Dengan berakhirnya sistem khilafah pada tahun 1922, Shaikh Rashid Rida, seorang reformis Muslim terkenal berasal dari Syria telah menulis sebuah karya yang berjudul Al-Khilafat Al-‘Uzma, karya ini bertujuan untuk menegaskan keperluan umat Islam membangun sistem pemerintahan Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah ketika umat dikejutkan dengan pemansukhan system khilafah oleh Mustafa Kamal Attarurk. Shaikh Rashid adalah ilmuan prtama pada zaman moden yang telah mengungkapkan perkataan al-daulah al-Islamiyyah sebagai satu istilah siyasah Islam pada zaman moden. Selanjutnya, Imam Hassan al-Banna dari Mesir telah mempopularkan istilah al-dawlah islamiyyah dalam perjuangan Islamnya menerusi gerakan Al-Ikhwan al-Muslimun di Mesir dan kemudian merebak ke seluruh dunia Arab. Di benua kecil Indo-Pak, Mawlana Abul ‘Ala al-Maududi telah menjadi begitu dogmatik ketika berjuang membentuk negara Islam (the Islamic State) di Pakistan. Beliaulah ideolog utama negara Islam yang banyak menulis tentang teori-teori negara Islam ketika memimpin Jama’ati Islami Pakistan yan didaftarkan sebagai sebuah parti politik Islam.

Di Indonesia, Bapak Mohammad Natsir telah mengasaskan parti Masyumi dengan tujuan Negara Islam dapat dibentuk di negara yang majority penduduknya beragama Islam. Di Malaysia, Pari Islam SeMalaysia (PAS) telah ditubuhkan pada tahun 1953. Dr.Burhanuddin al-Helmy, antara, pengasas utamanya telah menggagaskan idea pembentukan negara Islam. Di Sudan, Dr.Hassan Turabi adalah ideolog utama yang telah mengasaskan pembinaan negara Islam di Negara tersebut. Sementara di Tunisia, gerakan penubuhan negara Islam dipimpin oleh Syaikh Rashid al-Ghanoushi dimana Harakah al-Nahdah telah berperanan penting sejak di Tunisia sejak dekad 80’an hingga kehari ini. Selain itu, Professor Nikmatten Arbakan dari Turki telah menubuhkan parti Keadilan (Adalat) dalam tahun-tahun 70’an untuk membina negara Islam di Turki. Dalam dekad 90’an, Tayyip Erdogan, dahulunya adalah pengikut setia Professor Erbakan, telah menubuhkan AKP – sebuah parti yang berorientasi Islam. Demikianlah secara ringkas sejarah pertumbuhan gerakan negara Islam di beberapa buah negara Islam.

Kritikan Terhadap Idea Negara Islam

Hampir tidak ada muwafakat pendapat dalam kalangan pakar-pakar politik Muslim kontemporer tentang isi kandungan yang dapat mencirikan identiti sebuah negara Islam moden. Justeru, terdapat pelbagai ragam bentuk negara Islam di dunia saat ini. Dalam hubungan ini, Syaikh Rashid Rida, seorang ilmuan yang dianggap paling bertanggungjawab membuat rumusan penting tentang apa yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam iaitu kedaulatan syari’at sebagai sumber hokum yang tertinggi. Dalam pemikirannya, syari’ah memerlukan kekuasaan (power) bagi melaksanakan syari’at sepenuhnya. Jadi, adalah sukar untuk melaksanakan syari’at Islam tanpa adanya Negara Islam. Justeru, penerapan hukum Islam merupakan satu-satunya criteria utama yang sangat menentukan untuk membedakan antara negara islam dengan negara bukan Islam. (Rasyid Rida. Al-Khilafah al-‘Uzma; ms. 20). Selanjutnya, kesempurnaan sebuah negara Islam hanya boleh berlaku apabila terdapat lima cirri-ciri seperti berikut: Pertama, adanya pemimpin yang adil; Kedua, ketaatan yang mutlak kepada Allah s.w.t. Kerajaan dan kekuasaan adalah milik mutlak Allah s.w.t. dengan hukum-hukum Allah s.w.t dapat dilaksanakan sepenuhnya; Ketiga: proses syura yang wajar dilaksanakan dalam setiap proses pembuatan undang-undang; Keempat, wujud keseterataan dan kesamaaan antara semua warga negara. Walaubagaimanapun, Muhammad Abdul rauf tidak menolak terhadap beberapa pandangan yang menyebut bahawa negara Islam moden tidak banyak berbeda dengan konsep negara Islam sperti mengamalkan prinsip keadilan, ketelusan, pertanggungjawaban, mewujudkan pelbagai program yang bersifat kebajikan (welfarisme) dan sebagainya. Cuma yang membedakan negara Islam itu dengan negara sekular Barat ialah dari segi kemutlakan kuasa Tuhan dan kedaulatan mutlak syari’at. (Muhammad ‘Abdul Rauf, Concepts of Islamic State, ms. 29).

Antara kritikan keras terhadap pemikiran Negara Islam, antaranya, al-Maududi, ialah kerana kegagalan al-Maududi untuk mendamaikan antara teori-teori klasik dengan konsep moden. Meskipun al-Maududi memberi ruang kepada rakyat sebagai golongan yang mempunyai legitimasi suara di dalam sebuah negara Islam, tetapi ianya ternafi apabila al-Maududi semacam membenarkan khalifah menjadi seorang diktator di dalam pemerintahnnya.. Keyakinannya negara boleh bertindak menegakkan amar ma’ruf dan menghapuskan kemungkaran, menurut Abdel Wahab el-Efendi adalah satu penafian terhadap hak individu. Justeru, dia mendakwa jika hal yang sedemikian berlaku, maka negara Islam pada hakikatnya adalah sebuah negara totalitarian. (Abdel Wahab El-Affendi, ms. 53).

Dalam konteks pengkategorian Dar al-Islam, Dar al-Kufr, Dar al-Harb, dan Dar al-‘Ahd, para ilmuan Muslim semasa bersetuju dengan pandangan-pandangan ijtihad siyasi semasa yang menyatakan skema pengkategorian diatas sukar untuk dilaksanakan dalam konteks geo-politik dunia masa kini. Pada hakikatnya, wilayah-wilayah Islam yang telah wujud pada zaman dahulu kini telah bertukar tangan. Dalam masa ratusan tahun, penjajah Barat telah menjajah wilayah-wilayah Islam. Proses pembaratan sekularisasi telah berlaku. Dampaknya adalah parah dari segi politik, ekonomi, budaya, agama, ketenteraaan, media dan sebagainya. Dalam hubungan ini, Dr.’Abdul Karim Zaidan dan Yusuf al-‘Azam, dua orang penulis dan pemikir Islam yang terkenal di Timur Tengah telah menyatakan bahawa menegekalkan status negara-negara Islam yang telah dijajah sebagai Dar al- Islam masih tetap sah dan relevan dengan realiti dunia Islam masa kini. Disamping itu, hubungan kita dengan negara-negara bukan Islam juga telah bertambah rencam dan ruwet. Kita tidak boleh menghadkan kewujudan dua kategori – Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd. Apa yang jelas konflik politik yang sentiasa tegang pada tahap internasional bukan lagi berlaku antara negara-negara Islam dengan bukan Islam. Sesungguhnya perubahan-perubahan realiti politik dunia telah menjadikan skema pengkategorian silam itu tidak lagi relevan semutlaknya. (Siddiq Fadil. 1995, ms. 9-10).

Tariq Ramadan secara tegas mengkritik pandangan yang mendakwa bahawa Dar al-Islam, Dar al-Harb adalah dua konsep yang wujud di dalam al-Qur’an serta al-Sunnah. Kedua-duanya bukanlah merupakan dua prinsip utama di dalam Islam yang risalahnya lebih dikenali untuk seluruh wara dunia (lil ‘alamin) tanpa mengira batasan masa dan tempat. Yang jelas, kedua-kedua konsep tersebut adalah merupakan usaha manusia dalam satu masa yang tertentu untuk memberi satu gambaran tentang situasi dunia pada waktu itu. Dengan lain perkataan, pengkategorian tersebut tidak mempunyai apa-apa makna ketuhanan. (Tariq Ramadan, To be European Muslim, 2002, ms. 123). Apa yang jelas, pengkategorian Dar al-Islam dan Dar al-Kufr hanya menyulitkan usaha memudahkan masyarakat manusia memahami Islam dengan lebih mudah, selesa dan tidak menimbulkan rasa takut. Adalah jelas konsep-konsep seumpama itu hanya dilakukan oleh para fuqaha’ lebih kurang 500 tahun selepas peninggalan Junjungan Muhammad s.a.s.

Selanjutnya, Tariq Ramadan berhujah lagi bahawa para fuqaha pada zaman silam membuat pengkategorian tersebut kerana dua sebab penting: a) Menentukan prinsip-prinsip hubungan keantarabangsaan yang perlu diambil ketika wilayah-wilayah Islam telah menjadi luas, besar ketika berhadapan dengan empayar-empayar bukan Islam; b) para fuqaha’ ingin membedakan prinsip-prinsip perundangan Islam yang perlu dilaksanakan oleh warga Muslim yang tinggal di dalam negara-negara Islam dengan orang-orang Islam yang bergerak sebagai pedagang di dalam negara-negara bukan Islam. (Tariq Ramadan, 2002, ms. 127).

Konsep Dar al-‘Ahd tidak lagi relevan untuk dikekalkan pada masa kini. Dalam hubungan ini, Faisal Mawlawi, seorang ilmuan Muslim dari Lebanon, berhujah bahawa negara-negara Islam pada hari in yang telah menjadi anggota PBB (UN), secara logiknya dari segi perundangan antara bangsa, telah menerima idea untuk hidup secara aman damai dengan semua negara-negara anggota PBB seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan PBB. Dunia Islam sebagai anggota PBB pada hakikatnya telah bersetuju menerima kontrak PBB. Justeru, perjanjian tersebut dari sudut perundangan Islam hendaklah dihormati kerana secara langsung atau tidak langsung telah berlaku kontrak antara negara Islam dan bukan Islam. Faisal Mawlawi memberi dua ayat sebgai justifikasi terhadap pandangannya. Sai’d Hawwa, pengarang Al-Tafsir al-Asasi, seorang ilmuan terkenal dan tokoh gerakan Islam dari Syria turut membuktikan sirah Junjungan Muhammad s.a.w. yang menghantar surat-surat kepada raja-raja di luar kota Makkah dan Madinah dengan menurunkan cap mohor kerasulan Muhammad s.a.w sebagai tanda menghormati peraturan diplomasi konvensional pada zamannya. (Muhammad Hanif Hassan, Clarifying the Concept of Dar al-Islam & Dar Al-Harb, Jun 2004, ms. 4-6).

Kepentingan Memahami Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Masyarakat Minoriti Muslim

Dalam konteks masyarakat minoriti Muslim, kefahaman yang tepat terhadap sebuah konsep penting di dalam tradisi keilmuan fiqh Islami iaitu al-siyasah al-syari’iyyah adalah menjadi satu keutamaan pada hari ini. Dengan memahami keluasan skop yang terdapat di dalam al-siyasah al-syari’yyah banyak perkara yang mengusutkan pemikiran umat Islam boleh diselesaikan. Dalam hubungan ini, Syaikh Abdul Wahhab Khallaf, seorang ilmuan dari Universiti Al-Azhar, Mesir menyatakan bahawa konsep siasah syari’yyah adalah merupakan “…satu ruang, kelonggaran atau kuasa budi bicara yang diberikan kepada para penguasa untuk mengambil sesuatu tindakan atau pendirian atas dasar maslahah walaupun tidak ada yang khusus tentangnya, asalkan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama Islam.” (Abdul Wahhab Khallaf, al-Siayasatu al-Syar’iyyah, Beirut, 1984, ms. 6). Justeru, semua kalangan yang terlibat secara langsung dengan perjuangan mendaulatkan Islam sebagai al-din yang sempurna, sewajarnya dapat mendalami konsep-konsep asas di dalam fiqh klasik dengan idea-idea serta ijtihad baru sehingga dapat menggabungkan antara apa yang dinamakan al-asalah (warisan) dan al-mu’asarah (kontemporari). Inilah yang dinamakan juga fiqh al-waqi’, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-awlawiyyat. Dalam konteks pembentukan Negara Islam, masyarakat minoriti Muslim seharusnya mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama untuk melestarikan kehidupan masyarakat Islam seperti di Singapura dari segi pendidikan, sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya. Adalah jelas, di dalam negara-negara Islam, gerakan membentuk negara Islam moden masih belum berjaya. Di Malaysia sendiri, dalam Pilihan Raya ke 12 baru-baru ini, buat pertama kalinya PAS telah menggunakan tema membina Negara Berkebajikan sebagai gantian kepada slogan menegakkan Negara Islam apabila pimpinannya bersetuju untuk bergerak bersama dengah PKR dan DAP. Nyata sekali, pendirian PAS adalah satu ijitihad siyasah yang berani dan progresif dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Rumusan
Adalah jelas bahawa Islam adalah sebuah agama yang dinamik. Kecenderungan mutakhir para ilmuan Islam dan para pemimpin gerakan Islam Islam yang telah berjuang menegakkan negara Islam di beberapa buah negara Islam untuk menjadi lebih waqi’dalam menghadapi perubahan pesat geo-politik dunia dengan menggunakan prinsip siasah syar’aiyyah adalah merupakan satu tindakan yang bertepatan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Banyak manfaat yang dapat diterima oleh umat apabila idealisme dapat diimbangkan dengan realisme. Antara kewajipan utama kita ialah untuk mendidik umat supaya tidak menjadi ekstrim dengan ideologi Negara Islam tanpa menguasai doktrin Islam dengan mendalam dan tepat – berpandukan manhaj ‘ulama salaf dan khalaf serta lain-lain tokoh ilmuan hatta dari kalangan bukan Islam. Wallahu’alam bi al-sawwab.

Sumber: http://www.rrg.sg/subindex.asp?id=A019_08&keyword=gerakan%20islam


Associated Topics:

al-FikrahIsu Semasa
(2202 reads)
Re: Gagasan Pembentukan Negara Islam Dalam Konteks Geo-Politik Masa Kini: Beberapa A (Score: 1)
by isyraqi73 on Sunday, February 13, 2011 (06:28:37)
Terimakasih kepada AFN kerana sudi menyiarkan artikel yang berbau LIBERAL, dah lama hantar ingatkan sangkut kat penapis salafi.... huhu...

| Parent

Toggle Content Related Links
 More about Isu Semasa

Most read story about Isu Semasa:
MEMANFAATKAN KELEBIHAN BULAN MUHARRAM

Toggle Content Article Rating
Average Score: 5
Votes: 1


Please take a second and vote for this article:

Excellent
Very Good
Good
Regular
Bad


Toggle Content Options

 Printer Friendly Page  Printer Friendly Page

 Send to a Friend  Send to a Friend


Toggle Content Hadith Today
Tidak masuk Syurga orang yang suka mengadu domba.

-- HR. Muslim

Toggle Content Pautan Pilihan




Toggle Content Main Menu
 Home Community Members options Forums Search Web Affiliates

Toggle Content Top 10 Download
  1: Tafsir Ibnu Katsir Juz 1
  2: Shahih Sunan Ibnu Majah, Jilid 3
  3: Quran Flash (Tajweed)
  4: Hadith E-Book
  5: Al-Bidayah wa Nihayah, Masa Khulafaur Rasyidin
  6: Tafsir Ibnu Katsir Juz 2
  7: Tafsir Ibnu Katsir Juz 4
  8: Tafsir Ibnu Katsir Juz 3
  9: Quran Explorer
  10: Al-Raheeq al-Makhtum

Toggle Content User Info

Welcome Anonymous

Nickname
Password

Membership:
Latest: krolnaim
New Today: 0
New Yesterday: 0
Overall: 6806

People Online:
Members: 0
Visitors: 116
Bots: 0
Total: 116
Who Is Where:

Staff Online:

No staff members are online!

Toggle Content Top Posters
   thtl 
 Posts: 
 45516 

   FATHI 
 Posts: 
 14197 

   NAZ 
 Posts: 
 12875 

   Ibn_Firdaus 
 Posts: 
 11753 

   mustaqill 
 Posts: 
 11488 

   abu_usamah 
 Posts: 
 9944 


   kayrollz 
 Posts: 
 7919 

   mfauzy 
 Posts: 
 7045 

   Muhammady7 
 Posts: 
 6957 

   AqilHaq 
 Posts: 
 6825 

   Abu_Imran 
 Posts: 
 6735 

   Mohd.Ikram 
 Posts: 
 6613 

   Athma_Godam 
 Posts: 
 6591 

   ummimq 
 Posts: 
 5902 

   abuQays 
 Posts: 
 5779 

   Abuputri2 
 Posts: 
 5724 

   cikgurahim 
 Posts: 
 5033 

   abulwafaa 
 Posts: 
 4962 


   abdullah_ameen 
 Posts: 
 4444 

   abuirfan 
 Posts: 
 4409 

   iman_taqwa 
 Posts: 
 4391 

   alak 
 Posts: 
 4351 

   Yusof 
 Posts: 
 4213 



The logos and trademarks used on this site are the property of their respective owners
We are not responsible for comments posted by our users, as they are the property of the poster